Nak disesuaikan dengan tajuk susur galur, ada baiknya kalau dikemburkan semula sejarah bagaimana kesenian “papan selaju “ boleh menapak di Waha. Kalau diikutkan ingatan aku yang masih jelas walaupun kerap makan bawang besar dan menonton kaki gadis Jepun, seni “papan selaju” ni dibawa masuk oleh Che’ Mat. Bab nama awalan Che’ di depan nama beliau tu aku tak berapa pasti. Mungkin susur galur beliau dari negeri yang terkenal dengan bumbung stadiumnya yang runtuh. Mungkin juga beliau ada susur galur Che’ Guevera, siapa tahu.
Semasa aku bersekolah agama disebelah petang ( sebelah pagi aku bersekolah rendah darjah 6, pakai seluar getah) , selalu juga aku perhati Che’ Mat dengan Amir Sahar meluncur dan merebahkan badan (akibat tergolek) di perkarangan surau. Kebetulan kelas yang aku mentelaah ilmu tauhid serta ilmu munakahat bertentangan dengan perkarangan surau, maka logiknya aku dapat tengok dengan jelas permainan dua orang kutu terbabit. Amat jelas sekali, sampaikan label “amaran oleh kerajaan Malaysia” atas kotak rokok Che’ Mat pun aku dapat baca. Bila aku fikir balik, bersyukur juga aku kehadrat Tuhan sebab ustaz yang mengajar aku ilmu tauhid tak perasan gelagat aku yang kerap kali menelengkan kepala kea rah perkarangan surau. Kalau tidak mungkin kening aku masih berparut sehingga sekarang lantaran lontaran pemadam papan hitam oleh ustaz aku. Beliau menunggang motor Yamaha kap 80cc masa itu, sekarang aku tak berapa pasti. Mungkin Ducati Monster.
No comments:
Post a Comment