Pagi tadi secara tidak semena-mena aku pergi belakang setor untuk cari kayu yang tak lagi ayah aku nak guna sama ada nak membuat rumah orked emak aku atau pun memasung kaki pemecah rumah. Entah macam mana aku dapat idea nak buat kotak seronok ( dibaca funbox ) . Funbox ialah kotak kayu yang pemapan selaju (skateboarder) selalu hentam sama ada disisi bibirnya atau pun bahagian permukaan yang atas sekali. Hentam disini bermaksud melakukan trick-trick dalam kesenian papan selaju. Kalau bola sepak, masyarakat biasanya merujuk kepada skill ataupun kemahiran individu. Aku fikir idea yang bernas ini memang amat kena dengan aku yang berjinak semula dalam arena kesenian papan selaju ini selepas lama aku tinggalkan, jadi macam gantung tak bertali. Jadi aku tekadkan diri untuk bertukang membuat funbox dan disimpan di belakang setor rumah orang tua aku. alasannya, kalau balik hujung minggu, senang aku pekena barang sepam dua trik-trik papan selaju yang sememangnya dah lapuk. Sambil menyelam aku dapat minum air. Sambil mengasah bakat kesenian papan selaju yang hidup segan tak mahu, dapat juga aku balas dendam dekat jiran sebelah dengan bunyi “keletak –keletuk” bila papan selaju aku menghentam funbox tersebut. Bukan apa, anak beliau selalu mundar-mandir dengan motor Yamaha cup 80cc dekat halaman rumah. Pernah juga aku ugut dengan belantan milik raja bersiong, tapi anak beliau memang power tak mengendahkan ugutan aku.
No comments:
Post a Comment